Hello ....


Sunday 4 November 2012

Terjemahan Kurikulum


Kurikulum merupakan suatu elemen penting dalam sistem pendidikan. Ianya merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang boleh mencorakkan generasi akan datang. Kurikulum perlu relevan dan dinamis bersesuaian dengan keperluan semasa dan halatuju pendidikan serta aspirasi negara. Kertas ini membincangkan tentang asas dan cabaran yang perlu dipertimbangkan dalam memperkasakan kurikulum pendidikan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Negara dan trend pendidikan dunia adalah di antara kuasa penggerak yang perlu diberi penekanan dalam usaha memperkasakan kurikulum pendidikan negara.
Matlamat kurikulum ialah melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun, pada masa yang sama kurikulum turut perlu menyumbang dalam melahirkan pekerja yang berilmu, warganegara yang bertanggungjawab dan mempunyai ciri-ciri global player. Pengisian dan pelaksanaan kurikulum mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat, profil bangsa dan warganegara Malaysia yang berkualiti.
Di Malaysia, beberapa perubahan baru telah berlaku dalam arena pendidikan. Berdasarkan syor-syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan di semua sekolah rendah mulai tahun 1983. Berikutan itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) turut dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 1989. 

No comments:

Post a Comment